Jolokan ikon kurang menjadi- Maran bandar ayam kampung



Jolokan ikon kurang menjadi
ROSILAWATI ROSEDI & MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
24 APRIL 2016
1

STRATEGI melabelkan sesebuah bandar dengan jolokan tertentu merupakan satu pendekatan pragmatik sebagai promosi dan menjadi sebutan orang ramai.
Selepas Temerloh popular sebagai Bandar Ikan Patin dan Rompin dengan Bandar Udang Galah, Maran pula dikenali dengan jolokan Bandar Ayam Kampung.
Idea dicetuskan bekas Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Allahyarham Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak dan dipromosikan secara rasmi pada Julai 2008.
Usaha promosi dilakukan bersama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Strategi tersebut dilihat memberi kesan positif ketika itu apabila ada yang datang ke Maran semata-mata untuk mendapatkan ayam kampung segar atau siap dimasak.
Namun demikian selepas lapan tahun berlalu, Maran sebagai Bandar Ayam Kampung dilihat gah pada nama apabila hanya tiga gerai makanan sahaja yang mempunyai menu hidangan berasaskan ayam kampung.
Lebih mendukacitakan, tiada seorang pun penduduk yang menternak secara komersial sebaliknya bekalan ayam kampung segar diperoleh daripada negeri lain.
Ayam kampung siap dimasak dijual antara RM6 hingga RM8 seketul atau lebih bergantung kepada permintaan pengunjung luar menyebabkan peniaga kedai makanan enggan mengambil risiko menyediakan menu ayam kampung.
Difahamkan, terdapat sebilangan penduduk yang menerima bantuan untuk menjayakan projek ternakan ayam kampung namun tidak berjaya kerana kurang kemahiran dan serangan penyakit.


Kekal atau tidak tunggu respons penduduk

Penggunaan tagline 'Maran Bandar Ayam Kampung' masih diteruskan sehingga satu identiti serta tagline baru dan sesuai dapat digunakan buat daerah itu.
Pegawai Daerah Maran, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, hingga kini identiti ayam kampung masih digunakan untuk daerah itu yang sememangnya sinonim selepas ia dicetuskan idea pada tahun 2008.
Menurutnya, satu tinjauan kaji selidik sedang dijalankan terhadap warga daerah itu untuk mengetahui respons dan kehendak mereka sama ada identiti ayam kampung  mahu diteruskan ataupun sebaliknya.
“Kita ingin mengetahui penduduk tempatan bersetuju untuk meneruskan identiti ini. Jika tidak, memang satu langkah dan identiti baru akan dilaksanakan untuk penjenamaan semula di daerah ini.
“Seperti Temerloh dengan bandar ikan patinnya dan kini turut mahu dikenali dengan bandar titik tengah Semenanjung, kita juga ada beberapa cadangan untuk mendapatkan satu jenama dan tagline yang sesuai dengan peredaran masa,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pihaknya turut mempunyai beberapa cadangan untuk dikaitkan dengan daerah itu dan kini dalam peringkat kajian lebih mendalam selain menunggu hasil kaji selidik yang dijalankan.
Beliau memberitahu, ia juga selaras dengan sambutan Tahun Melawat Pahang 2017 dan Maran juga perlu mempunyai identiti dan tarikan untuk menarik kedatangan pelancong ke daerah tersebut seperti daerah-daerah lain.

"Selama ini orang luar telah mengenali Maran dengan identiti dan tagline Bandar Ayam Kampung. Jika datang ke sini, mereka akan mencuba dan menikmati juadah yang menggunakan ayam kampung yang disediakan di gerai ataupun restoran di sini," katanya.
'Maran perlu ikut cara Temerloh'
WARTAWAN SINAR HARIAN
24 APRIL 2016
0

Islah berharap agar lebih banyak papan tanda bersaiz besar di lokasi gerai yang menyediakan menu ayam kampung agar mudah diketahui pengunjung luar.
RAMAI beranggapan mudah mendapatkan ayam kampung segar atau siap dimasak di Bandar Maran kerana ia terkenal dengan jolokan Bandar Ayam Kampung.
Gelaran itu juga memberi tanggapan bahawa bandar ini menjadi pusat pengeluar utama ayam kampung dan menepati hasrat kerajaan satu daerah satu industri (SDSI).
Mungkin ada juga yang mengharapkan harga ayam kampung di sini lebih murah berbanding tempat lain.
Namun, sangkaan itu meleset. Tidak seperti menu patin yang senang didapati di Temerloh atau di daerah lain di negeri ini, tetapi menu ayam kampung hanya didapati di tiga kedai makan di Maran.
Pemilik Restoran Manja, Noraini Mohammad, 38, berkata, pengusaha kedai makan antara yang memainkan peranan apabila diminta menyediakan menu ayam kampung.
“Sejak diperkenalkan secara rasmi, saya sediakan beberapa menu ayam kampung setiap hari. Harga antara RM6 hingga RM7 seketul mengikut saiz dan kebanyakan pengunjung luar yang makan.
“Jualan lebih kurang sama saja dalam 10 ekor sehari kerana bergantung kepada orang luar, sebab itu tak semua kedai mahu sediakan  masakan ayam kampung,” katanya.
Noraini berkata, imej Bandar Ayam Kampung perlu dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan termasuk papan tanda gergasi di kedai menjual masakan ayam kampung.
Mengenai bekalan ayam kampung, dia memperolehinya daripada pembekal tunggal di sini.
“Ada penduduk  bela tapi cara tradisional. Mereka tak dapat bekalkan (siap diproses) setiap hari,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Gerai Aloha, Islah Tarmizi, 44, berkata, peniaga menyambut baik usaha dibuat kerajaan mempromosikan Maran dengan produk ayam kampung.
Namun katanya, papan tanda bersaiz besar perlu diperbanyakkan bagi memudahkan pengunjung luar mencari gerai menu ayam kampung.
“Bukan semua kedai di bandar Maran jual masakan ayam kampung, tak macam di Temerloh yang hampir semua kedai ada jual ikan patin.
“Sehari saya perlukan 10 ekor dan buat masa sekarang, bekalan cukup. Maran perlu jadi seperti Temerloh kerana penjenamaan sebegini sangat membantu ekonomi penduduk dan peniaga,” katanya.
Wujud ‘perkampungan’ ayam kampung
Penduduk, Mohd Radzuan Mat Amin, 43, berkata, pihak kerajaan melalui agensi tertentu perlu melakukan pelbagai inisiatif termasuk bantuan kepada penduduk untuk menternak ayam kampung.
“Bukan kata kerajaan tidak buat apa-apa tetapi saya rasa kena usaha lebih lagi bagi menepati tanggapan orang luar dan sesuai dengan jolokan Bandar Ayam Kampung.
“Kerajaan mempunyai kakitangan mahir dalam bidang masing-masing mungkin boleh wujudkan satu ‘perkampungan’ atau kompleks khas industri ayam kampung.
“Kalau orang luar datang, mereka boleh ke kompleks untuk lihat sendiri industri ayam kampung di Maran,” katanya.
Malah katanya, konsep satu kampung satu penternak ayam kampung perlu diwujudkan dengan memberi bimbingan kepada penduduk.
Syaifullah Ezmir Abdul Kahar, 31,  berpendapat belia yang berminat menternak perlu diberi peluang memainkan peranan sebagai penternak komersial dalam usaha menaikkan imej Maran.
Menurutnya, bantuan terdahulu tertumpu kepada golongan tertentu namun penerima gagal apabila tiada modal pusingan selain tidak dapat menampung kos makanan.
“Sewajarnya beri bantuan kepada mereka yang berminat dan agensi berkaitan perlu lakukan pemantauan termasuk pengurusan kewangan.
“Saya tak nafikan kerajaan ada usaha nak lahirkan ramai penternak dengan bantuan 200 anak ayam dan lima beg makanan.
“Tetapi mereka gagal memasarkan ayam tersebut dan ada ayam yang terbantut kerana tidak cukup makan kerana ternakan tradisional dan komersial berbeza,” katanya.


Sumber sinarharian

Comments

Popular Posts