Sastera sebagai sumber filem





SASTERA dan filem saling berkait antara satu dengan lain walaupun sastera pada relatifnya jauh lebih awal berbanding filem yang dicipta pada 1896 oleh Lumiere di Paris, Perancis. Kedua-dua seni ini saling memerlukan dan sastera ternyata telah dimanfaatkan untuk mengangkat filem menjadi satu genre seni yang berpengaruh.
Kewujudan sastera dalam filem bukanlah perkara baharu malah menjadi satu prasyarat bahawa sebahagian besar filem yang hebat diadaptasi daripada karya sastera yang juga hebat. Salah sebuah karya teater oleh Shakespeare, misalnya Othello telah difilemkan oleh Moskwa, kemudian diikuti dengan naskhah-naskhah Shakespeare yang lain seperti Hamlet.
Hamlet adalah naskhah teater Shakespeare yang paling lama dan paling banyak diadaptasi ke filem dan siri televisyen. Naskhah yang berpengaruh dalam kesusasteraan Inggeris terus menjadi sumber bagi filem-filem Hollywood, antaranya pengarah Laurence Olivier menghasilkan filem Hamlet pada 1946, filem pertama adaptasi daripada karya agung ini.
Pada 1996 naskhah Hamlet menjadi pilihan pengarah Kenneth Branagh untuk difilemkan tetapi tidak berlatarkan zaman klasik seperti karya asal oleh Shakespeare. Filem Lord of the Ring juga diadaptasikan dari karya sastera.
Walaupun buku itu mendapat perhatian luar biasa tetapi kandungannya dianggap antara yang paling sukar untuk difilemkan. Pembikin filem, Ralph Bakshi cuba menggunakan animasi dan lakonan pada tahun 1978 tetapi hasilnya tidak begitu memuaskan. Peter Jackson mempunyai teknologi dan kemahiran secukupnya untuk menjadikan filem adaptasinya pada tahun 2001 hingga 2003, sebuah filem yang hebat.
Antara tahun 1935 dan 1945, sebanyak 976 filem atau 17.2 peratus filem di Hollywood di adaptasi daripada novel. Dua filem yang paling diingati sepanjang zaman dalam sejarah perfileman dunia ialah Birth of a Nation dan Gone With the Wind. Filem Appocalypse Now arahan Francis Ford Coppola diadaptasi daripada novel Heart of Darkness karya Joseph Conrad. Novel tersebut menceritakan pengalaman Conrad sendiri mengenai masalah penghambaan orang kulit hitam yang berlaku di Congo pada awal abad ke-19.
Pengarah tersohor Malaysia, U-Wei Haji Saari pula mengadaptasi sebuah lagi novel hebat Conrad berjudul Almayer’s Folly menjadi filem Hanyut yang kini sedang ditayangkan di Indonesia.
Ternyata karya sastera terus mendapat perhatian daripada pengarah filem. Novel klasik karya Jane Austen, Sense and Sensibility difilemkan oleh pengarah berasal Taiwan, Ang Lee. Banyak pengkritik memuji adaptasi oleh Ang Lee walaupun dia dari Asia tetapi berjaya menghasilkan filem yang berlatarkan zaman Victoria di Eropah pada kurun ke-18.
Perkata kali Sense and Sensibility diadaptasi sebagai siri televisyen pada 1971 arahan Rodney Bennet, kemudiannya pada 1995 oleh Ang Lee yang dianggap sebuah karya adaptasi sastera yang berjaya. Sense and Sensibility juga turut diadaptasi dalam versi Tamil yang diberi judul, Kandukondain Kandukondain yang diterbitkan pada 2000 dan dilakonkan oleh Aishwarya Rai Bachchan.
Naskhah
Mengambil sumber daripada karya sastera juga bukan perkara baru dalam industri filem tempatan. Misalnya filem Istana Berdarah arahan Hussein Hanif diadaptasi daripada naskhah Macbeth oleh penulis skrip Ali Aziz. Filem Kalung Kenangan juga arahan Hussein diadaptasi naskhah teater klasik Greek berjudul Oedipus. Hussein juga mengadaptasi Hikayat Hang Tuah menjadi filem Jebat yang dilihat jauh lebih hebat berbanding filem Hang Tuah arahan pengarah India, Phandi Majundar.
Hussein memberikan tafsiran baharu terhadap watak Jebat kerana dalam sejarah Melayu, Jebat adalah penderhaka tanpa dipersoalkan lurus bendul Hang Tuah. Hussein memberikan watak wira kepada Jebat kerana menuntut keadilan untuk saudaranya Hang Tuah yang dihukum mati oleh Sultan Melaka.
Filem-filem awal seperti Batu Belah Batu Bertangkup, Megat Terawis, Panji Semerang, Si Tanggang, Hang Jebat, Seri Mersing, Puteri Gunung Ledang, Badang dan Raja Bersiong diambil daripada cerita rakyat Melayu.
Filem semasa, Magika terbitan KRU Studio juga berani mengambil beberapa kisah sastera rakyat Melayu antaranya Hikayat Pak Pandir dengan bantuan peralatan serta teknologi moden seperti CGI dan pelbagai lagi.
Dalam Sejarah Melayu misalnya terdapat puluhan cerita yang sesuai difilemkan, daripada kisah perjalanan Raja Suran, Tun Jana Khatib, Singapura Dilanggar Todak, Sultan Muzafar Syah, Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Bendahara Tun Perak, Tun Ali, Tun Kudu dan banyak lagi.

Kita juga perlu melihat karya-karya penting dalam sastera Melayu seperti Panglima Awang (Harun Aminurashid), Salina (A. Samad Said), Tulang-tulang Berserakan (Usman Awang), Sandera (Arenawati) dan banyak lagi sebagai sumber filem Melayu. Tidak perlu mengambil sastera Barat seperti Vikingdom yang diarahkan oleh Yusri Abdul Halim.
Pujian boleh diberikan kepada Sabri Yunus yang mengambil novel karya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan ke dalam bentuk telefilem.



Karya sastera telah teruji dan melalui proses pencerahan dan penilaian yang luar biasa. Maka dengan sendirinya, karya-karya ini menunjukkan kekuatan yang khusus daripada aspek jalan cerita, perwatakan atau sudut pandangan.
Apa yang diperlukan ialah menafsirkan semula untuk medium filem. Proses ini sukar dan menyulitkan. Tetapi ini adalah salah satu cara untuk mengatasi filem-filem Melayu yang kosong wacana dilambak ke panggung kita.


sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/sastera-sebagai-sumber-filem-1.22645

Comments

Popular Posts