Maran Bandar Ayam Kampung: Sorotan Berita



Beberapa sorotan berita yang melaporkan mengenai bandar Maran 
( masyhur jugok bandar kawe hihihi...)

BERITA PERTAMA

MARAN 5 Julai - Maran bakal dikenali sebagai 'bandar ayam kampung' apabila daerah itu menjadi pengeluar terbesar ternakan tersebut di Pahang.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, jika daerah Temerloh popular sebagai Bandar Ikan Patin dan Rompin terkenal dengan udang galah, kini tiba giliran Maran dipromosikan sebagai bandar yang terkenal dengan masakan ayam kampung.Beliau berkata, hasrat menjadikan Maran sebagai bandar ayam kampung telah dikemukakan kepada Majlis Peladang Negeri. "Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Promosi Maran 'Bandar Ayam Kampung' di Pasar Tani Bandar Maran di sini hari ini.Turut diadakan pada majlis tersebut ialah jualan ayam hidup, ayam proses dan telur ayam, pertandingan memasak ayam kampung, pertandingan gerai, pertandingan mewarna kanak-kanak tadika dan hari bertemu usahawan yang menyediakan khidmat nasihat oleh agensi-agensi pertanian. Tan Mohd. Aminuddin berkata, promosi Maran sebagai bandar ayam kampung akan dilaksanakan melalui penawaran masakan berasaskan makanan itu di restoran-restoran sekitar Maran. Jelas beliau, bagi memastikan restoran-restoran tidak putus bekalan ayam kampung, sebanyak 26 pengusaha ternakan itu dengan jumlah pengeluaran 13,380 ekor ayam sehingga kini telah dikenal pasti di bandar tersebut. "Bagi memastikan bekalan ayam di restoran-restoran tidak putus, kita akan kaji semula pengeluaran ayam kampung di bandar ini," ujarnya. Katanya, dengan promosi yang dijalankan FAMA bagi memperkenalkan Maran sebagai 'bandar ayam kampung', orang ramai yang ingin merasa masakan ayam kampung boleh berkunjung ke bandar itu.

BERITA KEDUA

Maran 'Bandar Ayam Kampung'

MARAN 3 Dis. - Pelbagai strategi dan pendekatan pragmatik dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan sesebuah bandar itu maju, dikunjungi dan menjadi sebutan ramai.Antara pendekatan yang diambil adalah dengan melabelkan sesebuah bandar itu dengan nama tertentu berdasarkan keistimewaan yang terdapat di kawasan berkenaan dan seterusnya dijadikan identiti.Sebagai contoh, bandar Temerloh amat sinonim dengan panggilan 'Bandar Ikan Patin.'Penggemar dari seluruh negara akan berkunjung ke Temerloh hanya kerana mahu menjamu selera gulai ikan patin masak tempoyak di restoran dan kedai makan yang terkenal di daerah itu. Memandangkan pendekatan itu amat berkesan untuk menarik lebih ramai pelancong sekali gus menjana pendapatan penduduk tempatan, kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan menamakan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung.' Idea tersebut dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak selepas menyedari potensi bandar itu mampu menjadi tumpuan pelancong domestik dan asing. Usaha tersebut bertujuan membantu penduduk menjana pendapatan melalui perniagaan restoran atau kedai makan dan golongan penternak ayam kampung di daerah ini. Sejak dua tahun lalu, bandar ini mula diperkenalkan sebagai 'Bandar Ayam Kampung' dan ia diterima secara sepenuhnya oleh penduduk dan pengunjung yang menyokong idea bernas pemimpin kerajaan negeri itu. Bagi pengunjung luar yang berkunjung ke bandar ini, mereka akan disambut menerusi satu papan tanda 'Maran Bandar Ayam Kampung' berhampiran lampu isyarat jalan masuk ke Maran sebagai kata-kata aluan. Menurutnya, strategi mewujudkan 'Bandar Ayam Kampung' bertujuan menggalakkan pengguna lebih kerap datang ke Maran menikmati masakan ayam kampung sekali gus dapat menjana pendapatan penduduk. Kerajaan negeri jelasnya, mahu imej 'Maran Bandar Ayam Kampung' terus melekat di hati pengguna sebagaimana Temerloh yang sinonim dengan panggilan 'Bandar Ikan Patin.' ''Ada penggemar dari Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya datang ke Temerloh hanya semata-mata mengidamkan masakan enak gulai ikan patin masak tempoyak," ujarnya.Bagaimanapun, menurut Tan Mohd. Aminuddin, usaha mempromosi Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung' pada 2008 dilihat tidak menepati hasrat yang dikehendaki berikutan sambutan dingin daripada pengusaha restoran dan kedai makan di sini.Berikutan itu, tegasnya, kerajaan negeri melancarkan promosi bagi fasa kedua untuk memastikan hasrat kerajaan negeri tercapai.Kerajaan negeri katanya, dengan sokongan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian amat komited untuk menjadikan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung' kerana bandar ini memiliki kedudukan geografi yang strategik untuk dikunjungi.Tegasnya, kerajaan negeri membina asas kukuh untuk merealisasikan hasrat itu tetapi golongan pengusaha restoran dan kedai makan perlu memberikan kerjasama penuh dengan mempertingkatkan promosi masing-masing.''Kita mahu pengusaha kedai makan bandar ini menghidangkan menu istimewa yang berlainan dengan bandar-bandar lain di negeri ini untuk tarikan pengunjung.''Kedatangan ramai pengunjung domestik sangat penting kerana kuasa beli mereka berbelanja dan menjamu selera di bandar Maran membantu merancakkan sektor ekonomi di sini.''Pengusaha restoran dan peniaga kedai makan perlu proaktif mengadakan promosi menu ayam kampung tanpa mengharapkan agensi kerajaan semata-mata,'' katanya.Sejak memperkenalkan 'Maran Bandar Ayam Kampung,' jelas Tan Mohd. Aminuddin, orang ramai termasuk dari luar daerah itu sangat ghairah berkunjung ke sini untuk menikmati pelbagai resipi masakan ayam kampung.Katanya, kecenderungan dan minat pengunjung itu perlu dieksploitasi dengan sebaiknya supaya mereka terus berkunjung ke bandar itu untuk menjamu selera masakan ayam kampung.Namun, beliau kecewa apabila ada pengusaha makanan di bandar itu tidak menyediakan menu masakan ayam kampung sedangkan jolokan 'Bandar Ayam Kampung' telah terkenal di serata negeri.''Jika ada pengusaha restoran tidak konsisten menyediakan menu masakan ayam kampung, ia akan menyebabkan imej tersebut semakin malap di kalangan pengunjung luar.''Saya ada menerima aduan daripada penggemar bahawa ada restoran atau kedai makan di sini tidak menyediakan masakan menu masakan ayam kampung sedangkan imej Bandar Ayam Kampung sudah dikenali,'' katanya.Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia sempena Program Juara Rakyat mempromosi masakan ayam kampung fasa kedua dan jualan hasil perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.Majlis itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi tempatan terkenal, Jaafar Onn, Rohana Jalil dan Maya.Tegas Tan Mohd. Aminuddin, dengan jolokan 'Bandar Ayam Kampung,' pengusaha restoran dan kedai makan di sini perlu merebut peluang itu untuk menyediakan menu tersebut.Dalam pada itu, jelasnya, pengusaha kedai makan harus menjalin hubungan erat dengan pembekal atau penternak ayam kampung supaya bekalan dapat diperolehi setiap hari demi memenuhi selera pelanggan.''Jika sesebuah restoran atau kedai makan gagal menyediakan masakan ayam kampung, ia menyebabkan pelanggan akan tawar hati untuk datang lagi.''Keadaan lebih buruk lagi apabila pelanggan luar mempromosi keburukan bandar ayam kampung di sini,'' ujarnya.Jika keadaan sedemikian berlaku, tegasnya, peniaga adalah golongan paling rugi kerana pelanggan akan 'lari' ke premis lain yang lebih bijak menjalankan promosi untuk melariskan produk perniagaan mereka.Tambah beliau, ayam kampung boleh dipelbagaikan masakan seperti masak sup, ayam percik tempoyak, paprik ayam kampung, rendang kuning dan hitam ayam kampung dan rendang.''Promosi 'Maran Bandar Ayam Kampung' fasa kedua ini diharap menjadi pemangkin kepada peniaga dan pembekal untuk meningkatkan usaha bagi mengukuhkan lagi kedudukan sebagai bandar yang menyediakan menu ayam kampung,'' katanya.Peniaga restoran dan kedai makan juga kata Tan Mohd. Aminuddin, perlu kreatif dan inovatif bagi menarik perhatian pengunjung dan pelancong.


BERITA KETIGA

Promosi Bandar Ayam Kampung kurang sokongan

MARAN 20 Julai - Kerajaan Pahang kesal apabila sebahagian peniaga restoran dan kedai makan kurang memberi kerjasama dalam mempromosikan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung.'Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak (gambar) menegaskan, kurangnya sokongan daripada pihak terbabit menyebabkan usaha promosi tersebut tidak mencapai sasaran.''Sejak memperkenalkan Maran sebagai 'Bandar Ayam Kampung' tahun lalu, orang ramai termasuk dari luar daerah ini sangat berminat untuk ke sini menikmati pelbagai resipi masakan ayam kampung."''Bagaimanapun, ada restoran tidak menyediakan menu masakan ayam kampung manakala sebahagian yang lain tidak konsisten menyebabkan imej Maran sebagai Bandar Ayam Kampung semakin malap.''Saya sendiri banyak menerima aduan daripada penggemar ayam kampung mengenai restoran atau kedai makan di sini yang tidak menyediakan masakan ayam kampung,'' katanya.Beliau berkata demikian sempena program Juara Rakyat Mempromosi Masakan Ayam Kampung dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) peringkat daerah di sini baru-baru ini.Hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh.Tan Mohd. Aminuddin menegaskan, pengusaha restoran dan kedai makan di daerah ini perlu merebut peluang itu untuk menyediakan masakan ayam kampung dalam menu masing-masing sejajar dengan imej bandar ini.''Ayam kampung boleh dipelbagaikan masakan seperti sup, ayam percik tempoyak, paprik ayam kampung, rendang kuning dan ayam kampung rendang," jelasnya.Bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, katanya, pengusaha kedai makan dan restoran perlu menjalin hubungan erat dengan pembekal atau penternak ayam kampung.''Jika sesebuah restoran atau kedai makan gagal menyediakan masakan ayam kampung, ia menyebabkan pelanggan akan berasa tertipu dengan jolokan Bandar Ayam Kampung itu," katanya.Jika keadaan itu berterusan, katanya, pelanggan tidak lagi datang ke bandar ini pada masa akan datang.''Kerajaan negeri mahu supaya jolokan sebagai Bandar Ayam Kampung melekat di hati penduduk sebagaimana bandar Temerloh yang sinonim dengan panggilan Bandar Ikan Patin," katanya.''Promosi Maran Bandar Ayam Kampung fasa kedua ini diharap menjadi pemangkin kepada peniaga dan pembekal meningkatkan usaha mengukuhkan lagi kedudukan sebagai bandar yang menyediakan menu ayam kampung,'' katanya.Tan Mohd. Aminuddin juga mahu pengusaha kedai makan menyediakan menu yang berasaskan inovasi dan kreativiti supaya ia menjadi kegemaran ramai dan boleh dipromosi hingga ke peringkat global.Menurutnya, strategi mewujudkan Bandar Ayam Kampung antara lain bertujuan menggalakkan pelancong lebih kerap datang ke sini menikmati masakan ayam kampung sekali gus menjana pendapatan penduduk.



BERITA TERAKHIR

Sukar nikmati ayam kampung
Pengusaha restoran dakwa harga mahal jejas perniagaan di Maran


Kedai seberang jalan rumah kawe,kui3
MARAN: Ramai beranggapan bandar ini terkenal dengan masakan ayam kampung dan pengunjung pasti terbayang betapa mudahnya untuk menikmati keenakannya.Gelaran itu juga memberi anggapan bahawa bandar ini menjadi pusat pengeluar utama ayam kampung dan sekali gus menepati hasrat kerajaan satu daerah satu industri (SDSI).Namun, sangkaan sedemikian ternyatameleset dan hanya indah khabar daripada
rupa apabila hanya beberapa restoran dan kedai makan di pusat bandar ini menjual daging ayam kampung. Tinjauan menepati hanya terdapat tiga restoran di bandar ini yang menyediakan masakan ayam kampung dalam jumlah yang terhad. Antaranya ialah sebuah restoran di kawasan perniagaan berhadapan Taman Maran Impian, di sini yang ada menyediakan pelbagai jenis masakan ayam kampung. Bagi mereka yang jarang ke bandar ini sudah tentu tertanya-tanya serta menghadapi kesukaran untuk menikmati masakan ayam kampung yang dikatakan mempunyai khasiat protin tinggi. Pengunjung, Mazlan Mohammad, 53, mengakui sukar menikmati hidangan masakan ayam kampung kerana tidak ramai pengusaha restoran menyediakannya. Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu menggalakkan lebih ramai pengusaha restoran dan kedai makan menyediakan hidangan masakan ayam kampung sesuai dengan gelarannya. “Berdasarkan gelaran, pengunjung yang datang ke bandar ini sudah tentu terpikat dan ingin menikmati hidangan masakan ayam kampung tetapi apa yang menyedihkan ialah mereka sukar menemuinya dan jika ada harga agak mahal. Pengunjung, Abdul Rahman Mohamad, 34, berkata pihak berkuasa perlu berbuat sesuatu bagi mengelak kekeliruan dan salah anggap kepada mereka yang datang ke bandar ini semata-mata untuk menikmati masakan ayam kampung."Apabila gelaran sedemikian, kita sepatutnya beranggapan mudah untuk menikmati daging ayam kampung dan harganya tidak terlalu mahal seperti di tempat lain kerana ia adalah satu daya tarikan di bandar ini," katanya. Sementara itu, seorang pengusaha restoran, Ramlah Majid, 45, mengakui hanya segelintir pengusaha restoran menyediakan masakan ayam kampung kerana kesukaran mendapatkan bekalan ayam serta harganya agak tinggi iaitu mencecah RM12 sekilogram. Sehubungan itu, katanya, pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang agak tinggi bagi mendapatkan bekalan ayam daripada penduduk tempatan. “Saya tidak mahu menjual masakan ayam kampung kacukan kerana rasanya kurang sedap berbanding dengan ayam kampung `asli',” katanya. Sementara itu, Penolong Pegawai Veterinar daerah, Asri Mohd Amran,berkata terdapat seorang pengusaha ternakan ayam kampung di sini yang hanya mampu mengeluarkan kira-kira 400 ekor pada satu-satu masa. Katanya, pihaknya ada memberi galakan kepada 14 penternak lain tetapi hanya empat daripada mereka bergiat cergas mengusahakan ternakan dari baka ayam kampung kacukan dan mampu mengeluarkan lebih 5,000 ekor untuk pasaran luar dan dalam daerah. “Memang sukar untuk mendapatkan benih ayam kampung asli dan bukan kacukan kerana jumlah yang diternak penduduk kampung adalah kecil dan hanya digunakan untuk keperluan sendiri,” katanya. 
p/s :sedikit peringatan, kena tulis 'bandar' sekali kalau nak search dekat google image, sebab kalau search maran sahaja,....tak jumpa pulak bandar ayam kampung satu ni hihihi











Comments

Popular Posts