Jasa dan Pengorbanan -Cerpen


          
Semuanya tergamam. Diam. Boleh didengar suara angin menghembus, sepoi-sepoi bahasa. Jikalau ada jarum peniti yang jatuh pun, bunyi dentingannya pasti jelas kedengaran di telinga masing-masing.
            “Ni apa ni?!” suara jerkahan Cikgu Rahimi memecah kesunyian. Semua pelajar di dalam kelas itu termasuklah Cikgu Nuruddin, guru yang mengendalikan P&P ketika itu, terkejut dengan tindakan Cikgu Rahimi. “Saya tak salah cikgu! Bukan saya punya!” terdengar suara cuba membela diri.
            “ Kamu bertiga, bawa dia ke pejabat!” tiga pengawas diberi tugas oleh Cikgu Rahimi. Firdaus cuma mengikut. Dia sendiri terpinga-pinga apabila diperlakukan sedemikian rupa. Semuanya gara-gara penemuan bungkusan plastik kecil yang terkandung sesuatu. Sesuatu yang terlarang dan boleh menjahanamkan hidup sesiapa sahaja yang mencubanya. Cikgu Rahimi beredar dengan mengambil ‘ benda’ tersebut bersama-sama pesalah yang belum terbukti bersalah. Wajah Firdaus sugul dan tidak henti-henti menggeleng kepala, “Aku tak salah… tak bersalah…”



*****************************************
      

Trak polis baru sahaja meninggalkan kawasan perkarangan sekolah. Firdaus turut diangkut bersama di dalam trak tersebut. Rakan-rakannya tidak habis-habis berteka-teki. Pelajar-pelajar lain yang tidak mengenali Firdaus secara langsung lagilah riuh. Macam-macam spekulasi keluar dari mulut mereka. Guru-guru turut tidak ketinggalan.
“ Aku tak percaya kawan kita macam tu!” Faiz meluahkan pendapat. Tegas kedengaran. “Aku setuju!” Azri juga sependapat . Afiq dan Irfan turut bersetuju. Mereka kenal benar dengan Firdaus dan tidak timbul langsung sebarang rasa syakwasangka terhadapnya untuk terlibat dalam apa-apa jua jenayah.                                    
“ Ada orang yang kenakan Firdaus,” Faiz bersuara lagi.
“Dan aku akan cuba selesaikan hal ni.”


******************************************


“Ah Meng, terima kasih sebab beri saya itu barang. Padan muka si Firdaus tu!” Fikri cukup puas dengan perbuatan jahatnya.
“Wa pun tumpang gembira ooo…! Bolehlah kita sambung business… wang masuk poket, ha, ha, ha, ha!”
Tanpa mereka sedari, empat biji mata sedang memerhatikan mereka. Tetapi mereka juga tidak dapat berselindung lama. Konco-konco Ah Meng terlihat kelibat mereka di kawasan semak tidak jauh dari situ.
            “ Woi, lu buat apa ha?! Mengintip ka ?! ”
“Faiz, cabut! “ Azri memberi amaran. Mereka segera membuka langkah namun belum cukup pantas. Mereka terkepung. “Kau buat apa kat sini, Faiz?! Jangan-jangan…”
“ Ya, kami berdua dah tahu apa yang kau buat. Kau perlu betulkan apa yang kau buat ni…”  pinta Faiz.  “Kenapa kau buat semua ni? ”
“ Kawan kau Firdaus … kacau business aku! Sebelum dia report dekat Cikgu Rahimi, baik aku report dulu!”
“Patutlah dah ada kes budak lalok kat sekolah kita…” Azri berbisik kepada Faiz.
Setiap mata yang memandang ke  arah mereka penuh dengan api kemarahan yang menyala-nyala. Dan  kenyataan semakin menakutkan apabila … “ Aku nak kau berdua kena diamkan tentang hal ni. Tapi kan, aku tak rasa mulut korang tu boleh diam. Jadi, biar aku tolong tutup mulut korang tu!! ”
Serta-merta konco-konco Ah Meng dan Ah Meng sendiri menerpa ke arah Faiz dan Azri. Tangan masing-masing menggenggam kayu dan botol kaca. “Belasah dia olang!” arah Ah Meng disusuli tindakan ganas konco-konconya. Dua sahabat itu cuba melawan. Setiap serangan ditangkis dengan tangan kosong namun semakin lama semakin banyak kecederaan yang menimpa mereka. Semakin lama masa bergerak, semakin lemah mereka. Semakin tidak terdaya. Dan semakin dekat dengan mati…


*********************************************

Sekolah kembali heboh. Seorang pelajarnya mati kerana dibelasah dan seorang lagi cedera teruk. “ Dia masih koma, Cikgu Rahimi,” Inspektor  Fadhlan menjelaskan apa yang berlaku. “Selain itu, kami harap cikgu boleh bantu kami untuk meneliti bukti ini.”


************************************************


Cikgu Rahimi , Inspektor Fadhlan dan beberapa orang anggota polis menuju ke sebuah kelas. Mereka ingin menegakkan kebenaran yang masih belum ditegakkan. Dan pesalah sebenar perlu menerima hukuman. “ Maafkan saya, Cikgu Halwani. Tuan-tuan ni nak tahan salah seorang pelajar dalam kelas ini. Fikri.”
Pucat lesi muka Fikri tatkala namanya disebut. Dia hairan,bagaimana ‘kerjanya’ dapat dihidu pihak polis. Bagaimana?


**********************************************


Setitik air jernih jatuh ke tanah yang masih merah. Dari jauh, rakan-rakan dan keluarganya hanya memerhati. Tanah kuburan yang masih basah itu Firdaus genggam erat. Matanya bergenangan dengan air mata , cukup untuk menggambarkan perasaan yang sedang memenuhi dirinya ketika itu. Dia mengimbas kembali saat dirinya dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Maran. Dia diberitahu bahawa Faiz dan Azri mengambil tindakan berani untuk membongkar kebenaran. Mereka merakam perbualan antara Fikri dan Ah Meng dan tidak terkecuali perbualan mereka dengan Fikri sebelum mereka dibelasah teruk hingga salah seorang daripada mereka terkorban. Alat perakam itu tersimpan selamat dalam beg sandang yang digalas oleh Azri pada malam itu. Sangat mujur kerana tidak disedari Fikri dan Ah Meng. Kemujuran yang cukup untuk dijadikan sebagai bukti penahanan Fikri.
“Terima kasih sahabat…bersemadilah dengan aman di sana…” Firdaus menyedekahkan al-Fatihah sejurus selepas itu. Dia masih sebak. Dan dia tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan sahabatnya itu untuk selama-lamanya…


*Tamat*



Comments

Popular Posts